FAM UMUM PENGGANTI DE ROO TIDAK LAMA LAGI
Berita Sukan
FAM UMUM PENGGANTI DE ROO TIDAK LAMA LAGI
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka menamakan Pengarah Teknikal badan induk itu yang baharu dalam masa terdekat, selepas peyandangnya, Peter De Roo melepaskan jawatan itu baru-baru ini.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sedang meneliti calon yang paling sesuai, walaupun Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, Datuk Ong Kim Swee yang juga penolong De Roo, dilihat paling sesuai mengisi kekosongan jawatan itu.
“Mungkin sebelum akhir September atau awal Oktober, kita umumkan Pengarah Teknikal FAM yang baharu.
“Kita perlu mengambil masa untuk meneliti calon sesuai di peringkat Jawatankuasa Teknikal, sebelum nama calon itu dibawa kepada mesyuarat exco FAM untuk proses kelulusan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Baru-baru ini, De Roo mengumumkan melepaskan jawatan disandangnya sejak 2017, namun tidak mendedahkan punca beliau mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bagi jawatan yang tamat pada penghujung 2020.
De Roo yang berasal dari Belanda, menjadi antara watak penting dalam membangunkan DNA bola sepak negara yang baharu, sejak dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 2017.
tamat