NELAYAN LEMAS TERJATUH BOT
NELAYAN DIKHUATIRI LEMAS SELEPAS TERJATUH DARI BOT, KES KEDUA DALAM TEMPOH 3 HARI
KUANTAN: Seorang nelayan dilaporkan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dan dikhuatiri lemas kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan pada jam 10.30 pagi semalam.
Kejadian ini adalah kali kedua nelayan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dalam tempoh 3 hari selepas kejadian pertama nelayan terjatuh dari bot dan hilang di perairan Endau.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana (I) Maritim, Datuk Amran Daud berkata, mangsa yang terjatuh itu dikenali Muhammad Aminullah Azmi, 29, seorang warga tempatan dan dikhuatiri lemas.
“Sejurus menerima aduan melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 10.50 pagi semalam, Bot Maritim Malaysia, KILAT 50 yang sedang beroperasi telah diarahkan ke tempat kejadian.
“Ini adalah kes kedua dalam tempoh tiga hari, kedua-dua kes ini hampir sama kerana mereka tidak menitikberatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada di laut dan mangsa tidak memakai jaket keselamatan,”katanya.
Amran berkata, keadaan laut dan cuaca buruk turut menyukarkan operasi CARILAMAT dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.
“Pencarian mangsa disambung semula pada awal pagi ini oleh KM PEKAN yang sedang beroperasi dalam operasi CARILAMAT di Perairan Endau, manakala pencarian kes mangsa hilang di perairan Endau yang masuk hari ke-3 disambung oleh KM TATAU dan dibantu oleh bot KILAT 14 dari Zon Maritim Mersing bersama bot PSC 31 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan.
“Sehingga kini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan pencarian diteruskan dengan kawasan pencarian bagi kedua-dua kes diperluaskan sehingga kira-kira 960 batu nautika persegi,” katanya.
Katanya, operasi CARILAMAT turut dibantu 2 buah pesawat udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat udara BOMBA dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta mendapat kerjasama tujuh bot nelayan tempatan , mereka (nelayan) juga diingatkan supaya menyalurkan maklumat serta-merta sekiranya berlaku sebarang kemalangan di laut kerana Maritim Malaysia merupakan peneraju operasi CARILAMAT di Zon Maritin Malaysia.
Amran berkata, Komuniti Maritim dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan ciri-ciri keselamatan dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa di laut serta peka dengan perubahan semasa cuaca untuk menghindari sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Segala aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC KUANTAN di talian 09-5717368.