SISTEM E-RAHN DILANCAR TAHUN DEPAN
SISTEM PATUH SYARIAH PERTAMA BERASASKAN EMAS DAN PERAK
KUANTAN: Sistem digital koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), e-Rahn yang diuruskan secara berpusat
akan dilancarkan pada Mac tahun depan.
Ia bakal menjadi sistem kewangan patuh syariah berasaskan emas dan perak yang pertama di rantau Asia.
Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh berkata, sistem digital e-Rahn sedang dibangunkan Koperasi Muafakat Makmur Berhad (KOMAKMUR) menerusi perjanjian usahasama strategik antara kedua pihak.
Datuk Nordin berkata, sistem digital ini bakal memberi banyak faedah kepada koperasi-koperasi yang menjalankan perniagaan Ar-Rahnu melalui kemudahan modul Ar-Rahnu Tawarruq yang diuruskan secara berpusat.
“Pengguna dan koperasi dapat menikmati kemudahan ini dengan memuat turun aplikasi e-Rahn di Appstore dan Playstore secara percuma.
“Sistem digital ini menepati kepatuhan syariah sejajar dengan arahan Bank Negara menerusi Majlis Penasihat Syariah pada Februari lalu.
“Sistem e-Rahn juga sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendigitalkan pengoperasian dengan norma baharu yang perlu dipraktiskan di negara ini kesan daripada pandemik COVID-19,” kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bengkel e-Rahn, di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat 10 modul patuh syariah di dalam sistem tersebut seperti Ar-Rahnu Tawarruq, Pembiayaan Peribadi Tawarruq, Pembiayaan Perumahan Tawarruq, simpanan emas dan barter trade dengan hanya sentuhan klik di telefon pintar.
Pada majlis tersebut, seramai 60 peserta terdiri daripada koperator dari Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.