86 KOMPAUN DIKELUARKAN IPD TEMERLOH
Berita Nasional
86 KOMPAUN DIKELUARKAN IPD TEMERLOH
115 DITAHAN TAK PATUT SOP
TEMERLOH: Sejumlah 86 kompaun dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kepada pemilik premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Jumlah itu membabitkan pelbagai kesalahan yang dikesan sejak Mac lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, bagi tangkapan dilakukan pihaknya pula, seramai 108 daripada 115 yang ditahan sudah didakwa di mahkamah.
“Mereka ini didakwa mengikut Seksyen Peraturan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Peraturan 11 2020/269 Kanun Keseksaan.
“Kebanyakan kesalahan dilakukan ialah tidak mematuhi SOP, terutamanya membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka.
”Bagi pemilik premis pula, kebanyakan kesalahan membabitkan operasi lebih masa dan tidak meletakkan tanda bagi penjarakan fizikal dalam premis mereka,” katanya.
Mohd Yusri menasihatkan semua pemilik premis lebih peka dengan SOP diperkenalkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam usaha menamatkan rantaian COVID-19.
Katanya, pelanggan atau individu yang mengunjungi premis perniagaan juga diminta beredar dari premis sebaik waktu operasi dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam berakhir.
“Tak perlulah terus berada di premis, terutamanya kedai makan selepas jam 12 tengah malam.. kita perhatikan ada yang masih degil.. biarpun kedai sudah ditutup, mereka tetap berada di premis sambil bermain handphone.
“Kita benarkan mereka (premis) beroperasi dari awal pagi hingga jam 12 tengah malam sahaja.. bila dah cukup masa dibenarkan, cepat-cepat beredar bagi mengelak dikenakan tindakan kompaun,” katanya.