DITAHAN CUBA LARIKAN DIRI
REMAJA DITAHAN SELEPAS CUBA MELARIKAN DIRI DALAM OP SAMSENG JALANAN
BUTTERWORTH: Seorang anggota polis patah ibu jari kaki kiri ketika menahan seorang remaja lelaki yang cuba melarikan diri dalam Op Samseng Jalanan di Lebuh raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dekat Bagan Ajam, jam 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, suspek yang berusia 19 tahun dan dua rakannya dilihat menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya.
“Ketika suspek berhenti di stesen minyak, anggota polis berusia 32 tahun itu dan beberapa anggota lain mendekatinya untuk membuat tangkapan.
“Anggota polis berkenaan memegang baju suspek di bahagian kiri dan tindakan itu menyebabkan suspek terkejut lalu bertindak cuba melarikan diri.
“Suspek memulas kawalan pendikit minyak motosikal menyebabkan ia berpusing kuat dan tayar belakang motosikal terkena ibu jari kiri anggota polis itu.
“Bagaimanapun, dia gagal melarikan diri,” katanya dalam kenyataan disiarkan BH Online hari ini.
Noorzainy berkata, semakan ke atas suspek mendapati dia menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen memandu yang sah.
“Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam,” katanya.