SUSPEK TEMBAK PADERI DITAHAN
Berita Jenayah
PADERI PARAH DITEMBAK GUNA SENAPANG DEKAT GEREJA
LYON: Seorang paderi Greek Ortodoks parah ditembak dengan senapang di luar gereja di bandar Lyon pada Sabtu.
Menurut laporan AP, kejadian itu berlaku ketika negara terbabit masih bergelut dengan serangan berdarah di gereja sejak beberapa hari lalu selepas insiden penerbitan semula karikatur Nabi Muhammad SAW oleh majalah Charlie Hebdo yang disifatkan menghina, awal September lalu.
Sumber polis yang enggan dikenali berkata, mangsa, Nikolaos Kakavelaki, 52, dilaporkan diserang ketika sedang menutup gereja di Lyon pada tengah hari dan mengalami kecederaan serius.
Berdasarkan maklumat dari sumber siasatan, mangsa dilaporkan ditembak dua kali di dada pada jarak dekat namun motif serangan masih belum diketahui.
Penyerang itu kemudiannya melarikan diri, namun pendakwa raya Lyon, Nicolas Jacquet mengesahkan suspek sudah ditahan.
Jacquet berkata, suspek tidak membawa sebarang senjata ketika ditahan polis.
“Seseorang yang mempunyai ciri bertepatan dengan keterangan diberikan saksi awal sudah berjaya berada dalam tahanan polis.
“Pada peringkat ini, tiada hipotesis yang boleh dikaitkan dengan insiden ini, ” katanya.
Sementara itu, pejabat pendakwa rata Lyon dalam kenyataan berkata, saksi dan seorang peronda polis yang melalui kawasan itu mendengar tembakan sebelum melihat suspek melarikan diri.
Katanya, mereka kemudiannya melihat lelaki dengan kesan tembakan di pintu belakang gereja.
Pihak pendakwaan berkata, siasatan sudah dimulakan polis bersama pihak pendakwaan antipengganas nasional.
Sebelum ini, Perancis berdepan dengan insiden serangan hampir sama termasuk pembunuhan tiga individu di gereja di Nice pada Khamis selain seorang guru yang dipenggal kepalanya awal bulan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
Sementara itu di Paris, Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, mengadakan mesyuarat untuk membincangkan situasi berkenaan.