PKPB BERJAYA KURANGKAN JANGKITAN
Berita Nasional
PKPB MENGURANGKAN KADAR JANGKITAN, TERUS PATUH SOP DITETAPKAN
PUTRAJAYA: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini menunjukkan penurunan apabila kes positif baharu dilihat kurang daripada unjuran dibuat Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebelum ini unjuran ditetapkan pada 1.5 dan sepatutnya kes positif boleh mencecah 1,357 pada semalam dan hari ini.
Beliau berkata, unjuran pada kadar kebolehjangkitan 1.0 pula menjangkakan kes positif sebanyak 950 pada semalam dan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, semalam KKM merekodkan kes positif baharu pada 799 dan sebanyak 659 kes positif baharu direkodkan hari ini.
“Bererti apabila kita mengikut unjuran 1.0 kes direkodkan kurang daripada itu. Ia bermaksud tindakan kita dalam tempoh dua minggu dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat mengimbangkan kesihatan dan ekonomi, menampakkan hasil positif.
“Kita dapat menurunkan kadar kebolehjangkitan kurang daripada 1. Ini adalah hasil pengurusan dan tindakan positif KKM,” katanya pada sidang media harian COVID-19, seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya berharap dengan menggiatkan tindakan dan aktiviti pengurusan jangkitan COVID-19, ia dapat dikurangkan dalam tempoh dua minggu lagi.
Beliau berkata, KKM mengharapkan kerjasama rakyat Malaysia untuk kekal di rumah dalam tempoh dua minggu lagi selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.