MAYAT PELAJAR MALAYSIA MATI DIBUNUH DITEMUI
Berita Jenayah
MAYAT PELAJAR MALAYSIA MANGSA BUNUH DITEMUI
TAINAN: Polis menahan seorang lelaki di Kaohsiung dekat sini, pada malam Khamis kerana disyaki mengakibatkan kematian pelajar Malaysia.
Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan, berkata lelaki berkenaan mengaku mencekik pelajar wanita berusia 24 tahun terbabit hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.
“Berdasarkan bukti yang ditemui, suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas 8 malam Rabu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup,” kata polis.
Polis mengesahkan pentadbiran universiti melaporkan kepada pegawai imigresen pada Khamis dengan mengatakan bahawa pelajar itu hilang.
Selepas Jabatan Polis Kota Tainan diberitahu mengenai kes berkenaan, penyiasatnya menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa berjalan di sepanjang jalan di daerah Gueiren, dekat dengan jalan tol kereta api pada 8 malam, sebelum hilang dari pandangan.
Pencarian di kawasan itu menemukan kasut yang kemudiannya disahkan milik mangsa sekali gus menyebabkan polis percaya dia diculik di daerah terbabit.
Polis kemudiannya menumpukan siasatan terhadap kereta yang didapati mempunyai kesan darah dan seluar dalam wanita.
Nombor pendaftaran kenderaan terbabit membantu polis mengesan suspek berusia 28 tahun.
Tidak lama selepas pengakuannya, polis menjumpai mayat mangsa di lereng bukit di Kaohsiung.
Menurut siasatan awal, polis mengatakan mangsa tidak mengenali suspek.
Kes terbabit diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Daerah Ciaotou di Kaohsiung untuk siasatan lanjut.
Sumber: BERNAMA