MANGSA RIBUT TERIMA BANTUAN
83 MANGSA RIBUT TERIMA BANTUAN
KUANTAN: Seramai 83 mangsa ribut menerima bantuan bagi memperbaiki kediaman mereka yang rosak susulan kejadian di perumahan Indera Mahkota Dua, kelmarin.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata mangsa juga dikatakan sudah menerima bantuan kewangan daripada beberapa pihak bagi meringankan beban ditanggung.
Selain kerajaan negeri, katanya, turut menghulurkan bantuan ialah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta beberapa pihak lain.
“Saya menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menghulurkan bantuan dan melawat tempat kejadian serta bertemu penduduk,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, turut meninjau lokasi kejadian bersama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasdec Makmur Indera Mahkota Dua, Rogayah Hassan.
Sementara itu, pesara, Mubin Abdul Samad, 62, berkata hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.
“Saya terpaksa mengeluarkan simpanan RM5,000 untuk membaiki kerosakan ditanggung.
“Sebelum ini ada kejadian angin kencang merosakkan bumbung tetapi tidak seteruk kali ini,” katanya.
BH Online