PELANGGAN DIKOMPAUN, GRO DICEKUP
Berita Jenayah
PENGUNJUNG, PELANGGAN DIKOMPAUN MANAKALA GRO DICEKUP
SERDANG: Seramai 36 pengunjung dan seorang pekerja di tiga pusat hiburan di Jalan Puteri, Puchong dekat sini, malam tadi dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menerusi Ops Noda bermula jam 10 malam itu, serbuan dilakukan 15 anggota dan lima pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata pihaknya turut menahan 18 wanita warga Vietnam dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan tujuh pekerja lelaki Myanmar serta Bangladesh di pusat hiburan terbabit.
“Semua individu dikompaun dan ditahan itu berusia antara 25 hingga 55 tahun. Operasi berjalan lancar. Saya juga sempat menemubual beberapa pelanggan yang dikompaun.
“Tiada sebarang pertengkaran berlaku. Mereka akur dan terima denda yang dikenakan.
“Kita harap perkara ini tidak berulang,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, lewat malam tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39b dan 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Perkara 3 dan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).
Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya akan mengadakan operasi pematuhan PKPB di Serdang, dari semasa ke semasa bagi mengawal penularan COVID-19.
“Tujuan operasi adalah untuk mendidik masyarakat betapa pentingnya pematuhan arahan PKPB bagi memutuskan rantaian COVID-19 daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat.
“Jika masih terdapat kesalahan, maka kita akan keluarkan kompaun,” katanya.
Sumber: BH Online