JADON SANCHO, HAALAND PENYELAMAT
Berita Sukan
JADON SANCHO, HAALAND PENYELAMAT
DORTMUND, Jerman: Jadon Sancho dan Erling Braut Haaland menyelamatkan maruah Borussia Dortmund menerusi gol lewat permainan awal pagi tadi ketika skuad dari Jerman itu menang 2-0 mengatasi Zenit St. Petersburg pada Liga Juara-Juara sambil bos mereka mengakui tidak akan mencatat nama dalam sejarah.
Jaringan Sancho pada minit ke-77 menerusi penalti dan gol pada tambahan masa oleh Haaland menentukan kesudahan perlawanan memihak kepada Dortmund lantas memberikan mereka tiga mata pertama dalam kempen Kumpulan F.
“Hari ini sukar. Kami banyak mengawal bola dan kami perlu bersabar dan tidak tergesa-gesa,” kata Haaland kepada Skysports.
“Kami sedar peluang akan muncul, dan pada penghujungnya ialah tiga mata penting,” katanya.
Selepas tewas 3-1 di tempat lawan bertemu Lazio pada saingan pembukaan minggu lalu, kelab Bundesliga itu berdepan tekanan untuk mendapatkan tiga mata.
“Selepas perlawanan menentang Lazio, kami perlukan kemenangan, dan anda boleh lihat ada sedikit tekanan. Ia sesuatu yang melegakan,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc sambil berkata perlawanan itu “tidak akan mencatat sejarah.”
Selepas beraksi di depan beberapa ratus penyokong, Dortmund terpaksa menutup terus stadium mereka semalam selepas keputusan pihak berkuasa tempatan dan wilayah berikutan pertambahan kes COVID-19.
Sumber: AFP