POLIS LEPAS TEMBAKAN, BERJAYA TAHAN PENJENAYAH
Berita Jenayah
POLIS LEPAS TEMBAKAN, BERJAYA TAHAN PENJENAYAH
SUNGAI SIPUT: Tindakan agresif seorang lelaki yang mengundurkan kereta dipandunya dalam cubaan merempuh polis bagi melarikan diri daripada diserbu memaksa polis melepaskan dua tembakan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, bagaimanapun suspek akhirnya ditangkap selepas dikejar sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi serbuan iaitu di sebuah banglo di Salak Baru, di sini.
Beliau berkata, serbuan itu turut berjaya menahan tiga lagi lelaki yang berada dalam banglo berkenaan, dengan keempat-empat suspek itu dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata, serbuan jam 12.30 tengahari itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sungai Siput dan Kuala Kangsar bertindak daripada maklumat.
“Sewaktu melarikan diri, suspek yang memandu kereta itu bertindak agresif dengan mengundurkannya dipercayai cuba merempuh polis, hingga memaksa dua das tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta itu.
“Tembakan dilepaskan ke arah tayar depan dan belakang, namun suspek berjaya melarikan diri sebelum dia akhirnya ditangkap selepas dikejar sejauh dua kilometer dari lokasi serbuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas heroin seberat 29.1 gram dengan anggaran nilai RM1,500 dalam serbuan itu.
“Siasatan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber: BH Online