KKM SARANKAN 3 LARANGAN DI BATU SAPI
Berita Nasional
KKM SARANKAN TIGA LARANGAN DI BATU SAPI
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan tiga larangan yang perlu diberi perhatian dan perlu dilaksanakan jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, bagi mengawal penularan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah larangan rentas sempadan atau pulang ke kampung; tidak boleh berkempen rumah ke rumah serta tidak boleh mengadakan perhimpunan beramai-ramai.
“KKM menyarankan sebaik-baiknya pilihan raya tidak dijalankan dalam masa terdekat tetapi jika diadakan perlu mematuhi tiga larangan berkenaan,” katanya pada sidang media harian di pejabat KKM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, manakala 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember.
Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 13 Oktober dan 19 November 2020.
Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu.
Vui Keong, 60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.
Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap WARISAN itu berasal dari Kota Belud dan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN).
Sumber: Harian Metro