PROJEK RINTIS USAHAWAN TANI
Berita Nasional
PROJEK RINTIS USAHAWAN TANI
JERANTUT: Pulau Tawar, Jerantut dan Jelai, Cameron Highlands dipilih kerajaan negeri untuk projek perintis membangunkan usahawan tani melalui projek tanaman sayuran fertigasi dalam kalangan belia FELDA dan kampung tradisi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri menjalinkan kerjasama bersama Yayasan Pahang dan Jabatan Pertanian bagi memastikan projek itu berjaya
Katanya, kerajaan negeri mahu pastikan belia FELDA dan kampung tradisi tidak ketinggalan menjadi usahawan tani berjaya.
Menurutnya, kerajaan sedar peluang pekerjaan semakin terhad khusus selepas COVID-19 dan usaha ini dapat menjana pendapatan lumayan kepada peserta, sekaligus mencipta peluang pekerjaan kepada belia.
“Kita sedang berunding dengan pentadbiran FELDA untuk mendapatkan tanah kosong yang sesuai untuk menjalankan projek fertigasi ini.
“Pihak Yayasan Pahang akan mengeluarkan peruntukan dan melantik mentor yang sudah berjaya bagi melatih dan membimbing belia terbabit sehingga berjaya mengeluarkan hasil, sekaligus membeli kembali hasil dikeluarkan kelak.
“Buat permulaan setiap peserta akan menanam 2,000 polybag bersama tiga rakan lain bagi memastikan lebih ramai mendapat ilmu tentang pertanian fertigasi,” katanya.
Beliau berkata demikian melancarkan program pembangunan usahawan belia FELDA DUN Pulau Tawar bersama Yayasan Pahang di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau, dekat sini, semalam.
Katanya, jenis tanaman terpulang kepada mentor dilantik, sama ada menaman sayuran seperti terung, cili, timun, timun tua atau rock melon.
Beliau berkata di DUN Pulau Tawar seramai 15 belia FELDA dan lima belia kampung tradisi dipilih untuk menyertai program perintis itu.
“Melalui program ini, saya berharap dapat melahirkan seramai 100 usahawan tani berjaya dalam DUN Pulau Tawar dalam masa setahun.
“Selain. melahirkan usahawan baru, program ini juga dapat memastikan bekalan makanan harian khususnya sayuran tidak terputus,” katanya.
Sumber: BH Online