1 MAUT, 4 HILANG KAPAL DAYANG TOPAZ KARAM
Berita Kemalangan
1 MAUT, 4 HILANG KAPAL DAYANG TOPAZ KARAM
PUTRAJAYA: Seorang maut manakala empat lagi hilang selepas sebuah kapal penyelenggaraan, Dayang Topaz, karam di kedudukan 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak, pagi tadi.
Bagaimanapun, seramai 121 kru kapal berkenaan yang melompat ke dalam laut, berjaya diselamatkan manakala 62 lagi masih berada di atas kapal berkenaan.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) menerima maklumat daripada pengendali kapal Sapura Construction, jam 6.45 pagi tadi, melaporkan menerima isyarat kecemasan dari Dayang Topaz.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kapal Sapura Construction bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz dan mendapati kapal berkenaan mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi terjun ke laut.
Katanya, aset bantuan telah digerakkan ke lokasi berkenaan membabitkan tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia berpangkalan di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat PETRONAS dan Shell.
“Seramai 121 kru berjaya diselamatkan, seorang meninggal dunia dan empat lagi hilang dalam operasi menyelamat pada jam 8.45 pagi ini,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Mohd Zubil berkata, kesemua kru yang diselamatkan dibantu oleh aset-aset bantuan dan kapal-kapal yang tiba di lokasi kejadian.
Katanya, pihak MRCC Putrajaya kini sedang giat melaksanakan koordinasi lanjut bagi mencari dan menyelamat empat kru yang hilang dalam Operasi Carilamat.
Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya.
Sumber: BH Online