ORANG KANAN SADDAM MAUT
Berita Global
ORANG KANAN SADDAM MAUT
BAGHDAD: Parti Baath semalam mengesahkan kematian Izzat Ibrahim al-Duri, yang juga orang kanan bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein.
Kematian beliau, yang sudah lama hidup sebagai pelarian, turut disahkan oleh anak perempuan Saddam, Raghad Saddam Hussein, menerusi ciapan di Twitter.
“Saya mengucapkan takziah kepada semua rakyat Iraq dan penyokong Duri di negara Arab serta seluruh dunia,” katanya dalam ciapan yang turut disertakan gambar Duri dan bapanya, yang dihukum gantung pada 2006.
Parti Baath, yang memerintah Iraq sehingga Saddam digulingkan, turut mengeluarkan kenyataan mengesahkan kematian pemimpin berusia 78 tahun itu tetapi tidak memaklumkan punca kematian atau di mana ia berlaku.
Selepas Saddam ditahan pada 2003 susulan serangan diterajui Amerika Syarikat (AS), jeneral berambut perang itu menjadi buruan utama dalam sasaran tentera AS dengan ganjaran AS$10 juta (RM41.7 juta) ditawarkan bagi penangkapannya.
Duri, yang juga dikenali sebagai Iceman kerana pernah bekerja menjual ketulan ais pada zaman mudanya, sebelum ini pernah dilaporkan sudah mati atau ditangkap, namun kerap menyampaikan mesej menerusi video atau rakaman suara.
Pada 2016, muncul satu rakaman yang tidak dapat disahkan, di mana Duri dilihat memuji al-Qaeda dan kumpulan Daesh.
Beliau juga dikatakan memainkan peranan penting dalam beberapa serangan selepas Iraq diserang AS dan sekutunya, sekali gus menjadi pemimpin nombor dua Majlis Pemerintahan Revolusi di bawah regim Saddam.
Sumber: AFP