RUU Warga Emas fokus perlindungan fizikal, mental
RUU Warga Emas fokus perlindungan fizikal, mental
MELAKA: Aspek perlindungan fizikal dan mental warga emas bakal menjadi antara fokus utama Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, RUU itu dirangka bagi memastikan golongan berkenaan mendapat perlindungan sewajarnya dalam pelbagai aspek kehidupan.
Katanya, usaha itu juga penting bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan dengan lebih sejahtera, selamat dan terus mendapat penjagaan sewajarnya.
“Kami membawa RUU ini khusus untuk menumpukan kepada perlindungan warga emas supaya mereka sentiasa dilindungi dalam apa juga aspek.
“Sebab itu kita mengadakan RUU ini bagi memastikan mereka sentiasa dijaga dengan baik dan dapat menjalani kehidupan yang sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, Sabtu.
Nancy berkata, penggubalan RUU berkenaan adalah antara komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem sokongan, perlindungan dan penjagaan warga emas di negara ini.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi memastikan sistem berkenaan terus relevan dengan keperluan semasa, selain mengambil kira perubahan demografi negara pada masa akan datang.
Katanya, warga emas juga tidak seharusnya dilihat sebagai beban kepada keluarga atau masyarakat.
Sebaliknya, golongan itu perlu terus dihargai atas pengalaman dan sumbangan mereka, selain menjadi contoh kepada generasi muda.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh budaya kekeluargaan serta memastikan warga emas terus mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat.-SAHIH
#kw: Warga Emas, Nancy Shukri, RUU, perlindungan
