Tak puas hati laporan media, guna saluran rasmi – Fahmi
Tak puas hati laporan media, guna saluran rasmi – Fahmi
SHAH ALAM: Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tajuk berita atau kandungan laporan media disaran menggunakan saluran aduan rasmi Majlis Media Malaysia (MMM), bukannya mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan integriti industri media.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mekanisme berkenaan disediakan bagi membolehkan sebarang teguran atau aduan terhadap pelaporan media dikendalikan melalui saluran sewajarnya.
“Sekiranya dari aspek pelaporan oleh media itu sendiri, saya sarankan orang ramai sekiranya ada tajuk berita ataupun apa-apa perkara yang ingin ditegur kepada pihak media, mekanismenya adalah saluran aduan rasmi melalui Majlis Media Malaysia.
“Jadi ada pautan yang boleh kita pergi,” katanya selepas menghadiri Program MADANI Bersama Komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam, di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian susulan laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) oleh Kelab Media Putrajaya (KMP) terhadap sebuah akaun media sosial yang didakwa menyunting gambar petugas media menjadi imej haiwan.
Gambar asal membabitkan sekumpulan jurugambar dan wartawan yang sedang membuat liputan kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya, Khamis lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata MCMC sudah mengenal pasti beberapa akaun media sosial yang dikesan menyebarkan kandungan jelik termasuk dipercayai menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan Tun Dr Mahathir.
Katanya, MCMC bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjejaki pihak yang menghasilkan kandungan berkenaan.
“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan. Saya sendiri melihat akaun tersebut telah lesap, kita belum pasti sama ada ia akaun palsu tetapi MCMC sedang menjejaki bersama pihak PDRM,” katanya.
Fahmi turut meminta media dan orang ramai menghormati ruang serta permintaan keluarga Tun Dr Mahathir susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah.-SAHIH
#MajlisMediaMalaysia #FahmiFadzil #MCMC #media
