Anwar dukacita pemergian Tun Dr Siti Hasmah
Anwar dukacita pemergian Tun Dr Siti Hasmah
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, pagi Isnin.
Anwar menyifatkan pemergian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara.
“Before that, may I share sad news this morning. We learnt of the passing of Siti Hasmah. May Allah bless her soul and let us recite Al-Fatihah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan ucaptama dan merasmikan International Future Conference 2026 (IFC 2026) di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.
Anwar turut mengajak peserta persidangan membaca surah Al-Fatihah untuk Allahyarham.
Terdahulu, Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin dan berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Allahyarham yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Julai lalu dan meninggalkan tujuh orang anak.
Tun Dr Siti Hasmah dikenali atas khidmat dan sumbangannya kepada negara terutama dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat serta keprihatinannya terhadap permasalahan rakyat.
Anwar berkata jasa dan khidmat bakti Allahyarham kepada negara akan terus dikenang, selain menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Siti Hasmah, Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad, IJN
