Lebih 1,000 sertai sambutan Maulidur Rasul FELDA Wilayah Jengka
Lebih 1,000 sertai sambutan Maulidur Rasul FELDA Wilayah Jengka
MARAN: Lebih 1,000 peserta daripada 53 kontinjen menyertai Sambutan Maulidur Rasul peringkat FELDA Wilayah Jengka yang berlangsung di sini, hari ini.
Menariknya, sambutan itu turut disertai satu kontinjen khas masyarakat Orang Asli dari Kampung Bukit Bangkong, dekat Jerantut.
Setiap kontinjen membabitkan kira-kira 20 peserta yang bersama-sama memeriahkan program berkenaan.
Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Syed Ibrahim dalam ucapannya berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai wadah merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat selain menghayati serta mengenang sejarah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Haji Razak Daud berkata, sambutan tahun ini diadakan di dalam dewan berikutan keadaan jerebu yang masih melanda negara.

Menurutnya, kebiasaannya acara perarakan sempena sambutan berkenaan diadakan di sekitar perkarangan stadium.
“Kebiasaannya kita cuma berarak di perkarangan stadium, tetapi tahun ini kita buat dalam dewan.
“Dalam mesyuarat pun kita ada bincang perkara ini. Kita ambil kira juga faktor cuaca seperti hujan dan kebetulan sekarang pun jerebu,” katanya.-SAHIH
#kw PengerusiGabunganMasjidWilayah Jengka, BaloraMastika, Sambutan MaulidurRasulWilayahJengka
