Harga minyak tidak jejas pembangunan 2027
Harga minyak tidak jejas pembangunan 2027
Putrajaya: Kerajaan akan meneruskan perbelanjaan pembangunan negara bagi 2027 seperti dirancang meskipun ketidaktentuan harga minyak dunia memberi tekanan terhadap subsidi dan kedudukan fiskal negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, komitmen pembangunan jangka panjang perlu dikekalkan walaupun pengurusan kenaikan harga minyak menjadi antara perkara mendesak yang perlu ditangani kerajaan dalam jangka pendek.
“Walaupun menguruskan harga minyak adalah satu perkara yang mendesak atau bersifat jangka pendek, komitmen jangka panjang tetap perlu dikekalkan.
“Setakat ini kita mendapat komitmen bahawa perbelanjaan pembangunan negara tahun hadapan akan diteruskan seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, semalam.
Menurut Akmal Nasrullah, pergerakan harga minyak dunia masih tidak menentu dengan harga minyak mentah Brent boleh berubah disebabkan beberapa faktor.
Katanya, pengurusan fiskal perlu dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap rakyat dapat ditangani tanpa mengganggu perancangan pembangunan negara.
Beliau berkata, isu harga minyak signifikan kepada negara terutama membabitkan tampungan subsidi selain keperluan kerajaan mengimbangi usaha melindungi rakyat daripada kesannya dengan beban fiskal yang perlu ditanggung.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, antara tumpuan Kementerian Ekonomi menerusi Belanjawan 2027 adalah memastikan firma produktif terus berkembang.
Katanya, perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan keupayaan vendor tempatan terutama dari aspek penggunaan teknologi dan inovasi.
Harga minyak mentah Brent kini bergerak sekitar US$100 setong dengan pasaran global terus berdepan ketidaktentuan susulan perkembangan geopolitik dan bekalan minyak dunia.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Belanjawan 2027, harga minyak, pembangunan negara, Akmal Nasrullah
