Lelaki direman tujuh hari kes kanak-kanak dicampak ke sungai
Lelaki direman tujuh hari kes kanak-kanak dicampak ke sungai
Kota Tinggi: Lelaki yang disyaki mencampak kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu bermula hari ini hingga 28 September dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dibawa ke mahkamah kira-kira 9 pagi dengan memakai kemeja-T biru serta diiringi anggota polis.
Dalam kejadian pagi semalam, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun sambil bersenjatakan parang.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 9.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Berlaku pergelutan antara polis dengan suspek ketika tangkapan dibuat sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera, namun lelaki terbabit berjaya ditahan.
Yusof berkata, pembantu pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak itu sebelum mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat hari ini.
Suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan kes masih disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Kota Tinggi, reman tujuh hari, kanak-kanak maut, Seksyen 302
