Ajak solat Isyak jadi kenangan terakhir Putri
Ajak solat Isyak jadi kenangan terakhir Putri
Kota Tinggi: Ajakan Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, untuk menunaikan solat Isyak berjemaah bersama bapanya pada malam Ahad menjadi kenangan terakhir keluarga sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut keesokan harinya.
Putri Nur Afiyah Qalesya dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya dalam kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini.
Nenek mangsa, Mahani Mad Som, 63, berkata sikap cucu bongsu daripada dua beradik itu berbeza daripada kebiasaan apabila buat pertama kali mengajak bapanya menunaikan solat bersama-sama.
Menurutnya, sebelum itu cucunya meminta makanan, namun tidak mahu makan mi segera sebaliknya memilih keropok sebelum duduk di buaian.
Mahani berkata, kehilangan cucunya disedari kira-kira 9 pagi selepas selesai bersarapan apabila mendapati kanak-kanak berkenaan tiada di buaian.

Katanya, dia kemudian meminta bapa mangsa mencari Putri Nur Afiyah Qalesya di sekitar rumah sebelum timbul rasa tidak sedap hati dan mengajak anaknya pergi ke sungai.
“Bila tengok, nampak cucu saya sudah ada di bawah, dalam air,” katanya.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di alur sungai yang cetek sebelum diangkat bapanya.
Sungai berkenaan terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mangsa dengan laluan ke lokasi perlu melalui kawasan kebun tidak bertar.
Mahani berkata, kanak-kanak di kawasan itu juga tidak pernah pergi bersendirian ke sungai terbabit kerana kedudukannya jauh dari rumah.
Difahamkan, bapa saudara mangsa mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Tampoi serta dijadualkan mengambil bekalan ubat di Hospital Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, seorang suspek ditahan anggota Balai Polis Kuala Sedili selepas polis menerima laporan kira-kira 9.30 pagi mengenai seorang lelaki mengamuk sambil bersenjatakan parang.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
