Warga emas berarak sambil berselawat, kibarkan Jalur Gemilang
Warga emas berarak sambil berselawat, kibarkan Jalur Gemilang
SEMENYIH – Walaupun hanya berarak kurang 100 meter, sekitar 50 warga emas dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, tetap bersemangat menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah dan Bulan Kemerdekaan 2026.
Pada majlis yang berlangsung 25 Ogos lalu, warga emas terbabit bergerak menuju pintu utama PJMM dari jalan utama Kampung Sungai Purun, di sini, sambil berselawat dan mengibarkan Jalur Gemilang.
Ada antara mereka berarak menggunakan kerusi roda dan tongkat, manakala sebahagian lagi dipimpin rakan sebaya serta sukarelawan.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata seminggu sebelum program itu berlangsung, pihaknya sudah memaklumkan kepada penghuni mengenai sambutan berkenaan dan mendapat reaksi menggalakkan.
“Sebahagian warga emas yang menghuni pusat jagaan ini pernah berkhidmat sebagai anggota tentera, polis dan kakitangan kerajaan. Mereka banyak berjasa kepada negara.
“Jadi, sambutan ini memberi peluang kepada mereka mengimbau nostalgia ketika berkhidmat, selain dapat menyertai perarakan Maulidur Rasul dengan berselawat,” katanya.
Menurutnya, pihak pengurusan akan berusaha meneruskan program berkenaan setiap tahun dengan sokongan dan sumbangan pelbagai pihak bagi membolehkan warga emas turut merasai kemeriahan sambutan.
Majlis itu turut mendapat kerjasama PJNH dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), selain diserikan ceramah bertajuk Meniti Usia Bersama Cinta Rasulullah oleh Ustaz Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata program berkenaan memberi makna besar kepada warga emas yang berpeluang berselawat, mengibarkan Jalur Gemilang dan beramah mesra dengan sukarelawan serta penduduk setempat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada sukarelawan serta penyerahan beg bagasi oleh Al-Fawwaz Travel Agency kepada dua penghuni, Ruddly Tuntun dan Muhammad Najad Ma Abdullah, yang menerima tajaan menunaikan umrah.
Sambutan diakhiri nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga emas, petugas, sukarelawan dan penduduk kampung.-SAHIH.
