Hari Malaysia 2026 bukti erat kerjasama Persekutuan-Sarawak
Hari Malaysia 2026 bukti erat kerjasama Persekutuan-Sarawak
KUCHING: Kejayaan Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, Rabu lalu, menjadi manifestasi kukuh semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, kejayaan penganjuran itu turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak yang berganding bahu memastikan acara berkenaan berjalan lancar.
Menurutnya, keadaan cuaca yang baik pada hari sambutan turut membantu perjalanan majlis, sekali gus memberi petanda positif terhadap keseluruhan penganjuran.
“Pastinya dengan doa semua pihak, perjalanan majlis ini dapat berlangsung dengan lancar, khususnya apabila keadaan cuaca juga mengizinkan.
“Ia memberikan satu petanda yang sangat positif bahawa perjalanan Sambutan Hari Malaysia 2026 dengan tema ‘Malaysia Madani Sejahtera Dinikmati’ dapat dijayakan dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di BCCK, Kuching.
Abdul Halim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak yang hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
Katanya, sokongan dan penyertaan masyarakat menjadi antara elemen penting dalam memastikan sambutan peringkat kebangsaan itu benar-benar membawa semangat perpaduan serta kebersamaan rakyat.
Kira-kira 5,000 pengunjung memenuhi ruang dewan BCCK bagi mengikuti sambutan berkenaan.
Acara kali ini diadakan di dalam bangunan susulan keadaan jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan.
Walaupun berdepan faktor cuaca dan jerebu, sambutan tetap berlangsung meriah dengan penyertaan rakyat daripada pelbagai latar belakang, sekali gus mencerminkan semangat Hari Malaysia yang terus subur.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Hari Malaysia 2026, BCCK, Sarawak, Kementerian Komunikasi
