Krisis tenaga global mula tekan kos elektrik
Krisis tenaga global mula tekan kos elektrik
JOHOR BAHRU: Kesan gangguan bekalan tenaga global yang sebelum ini lebih ketara terhadap petrol kini mula merebak kepada gas asli dan arang batu, sekali gus memberi tekanan kepada kos pengeluaran elektrik.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesan itu terutama membabitkan pengguna yang mencatatkan penggunaan melebihi 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan.
Menurutnya, gangguan bekalan tenaga global mempunyai kesan susulan apabila peningkatan kos sesuatu sumber tenaga tidak berlaku serentak, sebaliknya mengambil masa sebelum memberi kesan kepada sumber lain.
“Pada Mac lalu, kesan yang paling ketara adalah petrol dan seterusnya ketika ini kita dapat lihat kesan itu sudah merebak ke bekalan tenaga lain termasuk harga gas asli, arang batu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Cura Klinik Kesihatan Parlimen Johor Bahru di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, di sini, Khamis.
Akmal Nasrullah berkata, perubahan kos bahan api global bagi kelompok penggunaan tinggi diterjemahkan melalui mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
Mekanisme itu membolehkan pelarasan bulanan caj penjanaan bagi mencerminkan perubahan harga bahan api serta kos penjanaan elektrik.
Katanya, kesan terhadap harga gas asli lazimnya mengambil masa antara tiga hingga empat bulan sebelum diterjemahkan kepada kos elektrik semasa.
“Gas asli ini merupakan bahan api yang dibakar untuk menghasilkan tenaga. Biasanya apabila berlaku kenaikan kepada petrol, ia akan mempunyai kesan susulan tiga atau empat bulan kemudian apabila gas asli pula terkesan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kaedah penetapan tarif semasa masih melindungi majoriti pengguna domestik berskala kecil daripada terjejas secara langsung akibat tekanan kos berkenaan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat khas bagi menilai kedudukan tarif dalam usaha mengurangkan beban rakyat.
Akmal Nasrullah berkata, keadaan cuaca semasa yang kurang baik turut menyumbang secara tidak langsung kepada peningkatan jumlah penggunaan tenaga harian.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw krisis tenaga, tarif elektrik, AFA, Akmal Nasrullah
