30 peratus masjid di Selangor guna teknologi digital, AI
30 peratus masjid di Selangor guna teknologi digital, AI
BANGI: Kira-kira 30 peratus pengurusan masjid di Selangor kini sudah menggunakan teknologi digital termasuk mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) dalam urusan pentadbiran masing-masing.
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pihaknya sedang berusaha meningkatkan kadar penggunaan teknologi berkenaan, khususnya dalam sistem pengurusan kewangan masjid.
Menurutnya, pendigitalan pengurusan kewangan penting bagi memastikan urusan masjid lebih teratur dan telus, selain memudahkan proses pengauditan.
“Pengamatan saya juga mendapati ada sebahagian masjid sudah melaksanakan inisiatif sendiri dengan mendokumentasikan data-data kariah mereka.
“Ini memudahkan urusan pengurusan lain seperti apabila terdapat bancian daripada pihak zakat dan sebagainya, mereka boleh terus mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan telus,” katanya.
Beliau berkata, usaha menggalakkan lebih banyak pengurusan masjid mengadaptasi teknologi terkini turut bergantung kepada faktor lokasi serta keperluan asas yang tersedia di setiap masjid.
Bagi merealisasikan hasrat itu, MAIS menyediakan kursus pengurusan kewangan dan literasi digital secara percuma kepada pihak pengurusan masjid secara berkala mengikut daerah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Pengurusan Masjid, Zakat dan Wakaf di Bangi, Selasa.
Persidangan edisi ke-12 anjuran Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor itu menghimpunkan sebanyak 49 kertas pembentangan secara dalam talian dan fizikal.
Program berkenaan turut menerima penyertaan antarabangsa termasuk wakil dari Qatar dan Pakistan.
Pada majlis sama, BernamaTV turut menerima pengiktirafan sebagai rakan media kolaboratif strategik.
Pengiktirafan itu disampaikan kepada Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA, Mohd Shukri Ishak.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw MAIS, masjid Selangor, kecerdasan buatan, teknologi digital
