Anak Kuala Lipis buru rekod Asia menerusi 9,000 ulangan senaman
Anak Kuala Lipis buru rekod Asia menerusi 9,000 ulangan senaman
KUANTAN: Anak kelahiran Kuala Lipis, Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali sebagai KJEY sekali lagi mahu mengharumkan nama negara apabila menyasarkan 9,000 ulangan senaman dalam cubaan mencipta rekod baharu Asia, November depan.
Atlet kecergasan negara berusia 30 tahun itu dijadual melakukan 3,000 squat, 3,000 leg extensions dan 3,000 jumping jacks dalam satu misi di bawah kategori Maximum Number of Exercise Repetitions by an Individual.
Cubaan untuk melakar nama dalam Asia Book of Records itu dijadual berlangsung pada 1 November di Nethaji Hall, Kuala Lumpur dengan mendapat sokongan serta tajaan rasmi Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan.
KJEY berkata, cabaran itu bukan sekadar mahu menambah koleksi rekod peribadinya, sebaliknya membawa misi lebih besar bagi membuktikan kemampuan atlet tempatan khususnya belia India Malaysia di pentas Asia dan antarabangsa.
“Cubaan rekod ini bukan semata-mata untuk pencapaian peribadi saya. Ia juga platform untuk mempromosikan MIFIT serta memperkukuhkan usaha melahirkan lebih ramai belia India Malaysia yang aktif dalam bidang sukan dan kecergasan,” katanya.
Sebagai Presiden Malaysian Indian Fitness Association (MIFIT), beliau berkata, persatuan itu diwujudkan bagi membuka lebih banyak peluang, menyediakan bimbingan serta membina komuniti sukan dan kecergasan lebih kukuh.
KJEY bukan nama asing dalam cabaran ketahanan fizikal apabila pernah melakukan senaman kardio dan angkat berat tanpa henti selama 12 jam sebelum memperbaharuinya kepada 13 jam yang diiktiraf sebagai rekod Asia.
Pada 2024, beliau mencatat cabaran sama selama 15 jam tanpa henti yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) dan Influencer Book of World Records.
Jun lalu, KJEY mencipta rekod dunia ketiganya selepas melengkapkan cabaran kardio dan angkat berat selama 18 jam tanpa henti di Kuala Lipis, bermula jam 4 pagi hingga 11 malam.
Beliau juga pernah mencipta hatrik rekod kebangsaan menerusi tiga disiplin sama iaitu jumping jacks, leg extensions dan squats dengan masing-masing mencatat 3,000 ulangan.
Program November depan akan diketuai dan diselaraskan Ketua Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan, Nath Muniapah.
KJEY berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda supaya berani mencabar kemampuan diri melalui disiplin, latihan serta sokongan yang betul. – SAHIH
#kw Jey Prabakaran Thevar, Kuala Lipis, rekod Asia, kecergasan
