Rakyat Malaysia di luar negara perlu jaga imej negara
Rakyat Malaysia di luar negara perlu jaga imej negara
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di luar negara diingatkan supaya sentiasa menjaga imej negara dengan mematuhi undang-undang serta tata tertib di negara tempat mereka berada.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad berkata, perkara itu antara pesanan utama yang sering disampaikan beliau setiap kali berpeluang bertemu rakyat Malaysia ketika melakukan lawatan rasmi ke luar negara.
Menurutnya, tindakan segelintir individu yang melanggar undang-undang bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah boleh menjejaskan imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.
“Mana-mana saya pergi, jika ada kesempatan saya akan berjumpa dengan rakyat Malaysia. Pesanan yang utama yang kami sampaikan ialah supaya rakyat Malaysia menjaga imej kita.
“Kita tidak mahu rakyat Malaysia melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang negara tempat mereka tinggal,” katanya.
Beliau berkata, imej baik Malaysia di peringkat antarabangsa turut menyumbang kepada penerimaan positif terhadap pasport negara, sekali gus memudahkan urusan perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Katanya, reputasi itu perlu terus dipelihara supaya rakyat negara ini tidak berdepan kesukaran atau sekatan ketika melakukan perjalanan antarabangsa pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kementerian Luar turut meneruskan rundingan dengan beberapa negara bagi mendapatkan kelonggaran yang boleh memudahkan perjalanan rakyat Malaysia.
Antara kemudahan terbaharu diberikan Kanada ialah rakyat Malaysia yang memiliki visa Amerika Syarikat tidak lagi memerlukan visa untuk memasuki negara berkenaan.
Selain itu, rakyat Malaysia turut menikmati pengurangan bayaran visa sebagai sebahagian daripada kemudahan yang diberikan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Malaysia, KementerianLuar, Mohamad, pasportMalaysia, Kanada, visa, rakyatMalaysia
