Pertemuan dengan Putin hebat – Anwar
Pertemuan dengan Putin hebat – Anwar
NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan dua hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai satu pertemuan yang hebat.
Pertemuan kira-kira 20 minit itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India.
Pertemuan dengan Putin itu juga menjadi pertemuan dua hala pertama Anwar selepas beliau tiba di ibu negara India berkenaan bagi menghadiri sidang kemuncak tersebut.
Rusia adalah antara anggota pengasas kerjasama BRICS manakala Malaysia menghadiri sidang kemuncak berkenaan atas kapasiti sebagai negara rakan kongsi.
Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi bertemakan “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”.
Sidang itu memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh daya tahan, meningkatkan kerjasama ekonomi serta pembaharuan dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Hubungan Malaysia dan Rusia pula sudah terjalin sejak 1967 dengan kerjasama kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan, pelancongan serta pertahanan.
Pertemuan Anwar dan Putin turut mencerminkan hubungan rapat antara Putrajaya dan Moscow selain membuka ruang kepada usaha memperkukuh kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim #kw Vladimir Putin #kw BRICS #kw Malaysia Rusia #kw New Delhi #kw Narendra Modi
