Anwar cadang mekanisme khas Putrajaya-Moscow percepat perjanjian
Anwar cadang mekanisme khas Putrajaya-Moscow percepat perjanjian
NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penubuhan satu mekanisme khas antara Putrajaya dan Moscow bagi mempercepatkan pelaksanaan semua perjanjian yang sudah dicapai antara Malaysia dan Rusia.
Menurut nota yang diberikan kepada media Malaysia berhubung pertemuan dua hala itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai import minyak sawit Malaysia oleh Moscow serta usaha mempercepatkan penerbangan terus antara kedua-dua negara.
Pertemuan itu diadakan di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi pada Jumaat.
Dalam perbincangan kira-kira 20 minit itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengulangi penghargaan terhadap sokongan Rusia dalam memperkukuh kerjasama tenaga dengan Malaysia.
Petronas sebelum ini sudah mengadakan libat urus dengan rakan sejawat dari Rusia, Rosneft serta beberapa syarikat lain bagi meneroka dan memajukan kerjasama dalam sektor tenaga.
Sementara itu, agensi berita Rusia, TASS memetik Putin sebagai berkata bahawa pertumbuhan 12.9 peratus dalam nilai dagangan antara Rusia dan Malaysia tahun lalu adalah satu kadar yang kukuh.
Putin turut menegaskan bahawa Moscow memberi perhatian besar terhadap hubungan dengan Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan, sains, teknologi dan pelancongan.
Menurutnya, pertemuan pada Jumaat turut memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan isu keutamaan serta kerjasama dalam semua bidang berkenaan.
Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasitinya sebagai negara rakan kongsi BRICS sejak 1 Januari 2025.-SAHIH
#kw AnwarIbrahim #kw VladimirPutin #kw MalaysiaRusia #kw BRICS #kw NewDelhi #kw minyakSawit #kw Petronas
