Polis KL perlu tangkas hadapi jenayah era teknologi
Polis KL perlu tangkas hadapi jenayah era teknologi
KUALA LUMPUR: Perubahan corak jenayah yang semakin kompleks menuntut warga Polis Kuala Lumpur bergerak lebih pantas dengan memanfaatkan teknologi, analitik data serta perkongsian maklumat secara optimum.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, langkah proaktif itu penting memandangkan teknologi semakin canggih, bentuk jenayah terus berkembang dan jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan kepolisan semakin tinggi.
Menurutnya, setiap jabatan dan daerah di bawah Kontinjen Kuala Lumpur perlu sentiasa menilai keberkesanan strategi serta pendekatan yang digunakan bagi memastikan keupayaan pasukan dalam mencegah dan membanteras jenayah terus dipertingkat.
“Saya mahu setiap jabatan dan daerah terus menilai keberkesanan strategi atau pendekatan yang digunakan. Kenal pasti kelemahan, perbaiki kekurangan dan perkukuhkan perkara yang boleh menunjukkan hasil yang baik.
“Dalam melaksanakan tugas, kita hendaklah mengutamakan aspek kepantasan, ketepatan, profesionalisme dan keberkesanan.
“Pada masa sama, penggunaan teknologi, analisis data dan perkongsian maklumat hendaklah dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan keupayaan pasukan dalam mencegah dan membanteras jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Fadil berkata, integriti, disiplin dan profesionalisme perlu sentiasa menjadi asas utama dalam setiap pelaksanaan tugas bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dipelihara.
Mengulas tahap keselamatan negara, beliau berkata Malaysia berada pada tahap sangat baik berdasarkan peningkatan kedudukan dalam indeks global termasuk berada di tangga ke-12 Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 dan tangga ke-57 Indeks Keganasan Global (GTI) 2024.
Beliau turut menyeru seluruh warga Polis Kuala Lumpur memperkukuh semangat kerja berpasukan serta sinergi antara jabatan supaya imej PDRM terus dihormati di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pada perhimpunan sama, beliau menyampaikan Surat Penghargaan kepada pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang selain meraikan persaraan Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, SAC Datuk Zulkifli Arin selepas lebih 39 tahun berkhidmat dalam pasukan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw PolisKualaLumpur #kw PDRM #kw FadilMarsus #kw teknologi #kw jenayah #kw keselamatan #kw integriti
