Pindaan kewarganegaraan: KDN bakal umum tarikh kuat kuasa
Pindaan kewarganegaraan: KDN bakal umum tarikh kuat kuasa
KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal mengumumkan tarikh kuat kuasa pindaan peruntukan kewarganegaraan membabitkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia selepas semua persiapan pelaksanaannya selesai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persediaan itu merangkumi penyediaan dokumen berkaitan, peraturan kewarganegaraan serta sistem permohonan dalam talian.
Menurutnya, pelaksanaan sistem itu turut membabitkan pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia bagi memudahkan urusan permohonan selepas pindaan berkenaan berkuat kuasa.
“Di peringkat kementerian, semua urusan persediaan sudah diselesaikan termasuk penyediaan dokumen dan peraturan kewarganegaraan.
“Kita juga sudah memperoleh pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara. Persiapan turut membabitkan penyediaan sistem permohonan dalam talian kerana pelaksanaannya akan membabitkan pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sua Mesra Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Khidmat Rakyat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, Sabtu.
Saifuddin Nasution berkata, tarikh kuat kuasa pindaan berkenaan sudah ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan KDN akan membuat pengumuman selepas beberapa urusan pentadbiran selesai.
Katanya, pelaksanaan pindaan itu dijangka memberi kelegaan kepada wanita warga Malaysia yang sebelum ini menunggu proses kewarganegaraan anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
Daripada kira-kira 50,000 permohonan kewarganegaraan tertunggak sebelum ini, kira-kira 7,000 membabitkan kategori berkenaan.
“Daripada 7,000 itu, sekarang tinggal ratusan sahaja yang belum kita buat keputusan. Permohonan lama masih kita proses,” katanya.
Beliau berkata, selepas pindaan berkuat kuasa dan permohonan baharu dibuka, proses bagi kategori berkenaan akan dilaksanakan mengikut peruntukan baharu.
Dalam pada itu, KDN terus berusaha menyelesaikan baki 4,121 permohonan kewarganegaraan daripada jumlah asal 50,000 permohonan tertunggak dengan sasaran semuanya dapat diputuskan tahun ini.
Empat kategori utama yang merekodkan jumlah permohonan tinggi ialah Perkara 15A, Perkara 15(2), Perkara 19(1) dan Perkara 30(1) Perlembagaan Persekutuan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw KDN, kewarganegaraan, Saifuddin Nasution Ismail, anak lahir luar negara, wanita warga Malaysia, pindaan Perlembagaan
