Pembangunan Ulu Tembeling perlu jaga kelestarian alam
Pembangunan Ulu Tembeling perlu jaga kelestarian alam
JERANTUT: Penduduk Ulu Tembeling menyokong perancangan kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan perkampungan di pesisir Sungai Tembeling serta khazanah semula jadi bernilai pelancongan menerusi Draf Rancangan Tempatan Jerantut 2040.
Bagaimanapun, mereka mahu pembangunan pelancongan dirancang secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan hutan, Sungai Tembeling dan habitat hidupan liar yang menjadi aset utama kawasan berkenaan.
Penduduk mendakwa perubahan guna tanah sejak beberapa dekad lalu menyebabkan kemerosotan alam sekitar, termasuk pencemaran, banjir ketika musim tengkujuh serta mendapan pasir ketika musim kemarau.
Penduduk Ulu Tembeling, Ahmad Hairi Timban, berkata pihaknya tidak menghalang pembangunan, malah menyokong usaha memajukan kawasan berkenaan kerana mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi sektor pelancongan dan pertanian.
“Perancangan kemudahan asas untuk memajukan sektor pelancongan perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengelakkan pemusnahan hutan serta habitat haiwan liar.
“Kesan pembangunan sebelum ini seperti bencana alam dan haiwan liar menceroboh kampung sudah jelas, justeru perkara sama tidak sepatutnya berulang,” katanya.
Sementara itu, penggiat pelancongan Kuala Tahan, Sabri Abdullah, mencadangkan kerajaan mewujudkan santuari atau pusat rehabilitasi gajah liar selain memperkukuh usaha konservasi khazanah alam Ulu Tembeling.
Katanya, kewujudan gajah liar berhampiran jalan Kuala Tahan-Mat Daling bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya dan penduduk.
Beliau turut mencadangkan Lembah Enggang diwartakan sebagai habitat burung liar, selain membaik pulih Bukit Awan, meningkatkan kemudahan jalan kampung dan mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata penduduk diberi tempoh 1 hingga 30 September ini untuk mengemukakan pandangan, cadangan atau bantahan terhadap draf berkenaan.
Katanya, draf itu turut menggariskan projek strategik bernilai RM5.115 bilion bagi merancakkan sosioekonomi daerah menerusi pelancongan, peluang pekerjaan dan keusahawanan.-SAHIH,
