ANGKASA perkukuh jaringan koperasi kredit serantau
ANGKASA perkukuh jaringan koperasi kredit serantau
KELANA JAYA: ANGKASA terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila menerima kunjungan rasmi delegasi Asian Confederation Credit Union Forum 2026 (ACCU Forum 26) di Wisma Ungku A. Aziz, di sini, pada 10 September lalu.
Kunjungan itu menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik serta perkongsian pengalaman dalam pembangunan gerakan koperasi kredit di peringkat serantau.
Delegasi berkenaan diketuai Presiden ACCU merangkap Presiden Federation of Savings and Credit Cooperative of Thailand Limited (FSCT), Thailand, Pol. Maj. Gen. Danukrit Kalampakorn bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif World Council of Credit Unions (WOCCU), Amerika Syarikat, Paul Treinen.
Ketibaan delegasi disambut Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Datuk Kamarudin Ismail yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan serta taklimat rasmi.
Beliau mewakili Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organisation (ACO) dan Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Abdul Fattah turut meluangkan masa menyantuni anggota delegasi berkenaan.
Dalam taklimatnya, Kamarudin berkongsi mengenai struktur serta ekosistem gerakan koperasi di Malaysia selain peranan ANGKASA sebagai badan apeks tunggal yang mewakili lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan melebihi tujuh juta individu.
ANGKASA turut mempunyai 16 pejabat negeri di seluruh negara bagi menyokong perkembangan dan pengukuhan gerakan koperasi.
Taklimat itu turut menyentuh penglibatan aktif ANGKASA di peringkat antarabangsa termasuk keanggotaannya dalam ICA sejak 1972, peranan sebagai pengasas bersama ACO serta penyertaan dalam pelbagai jawatankuasa ICA-AP.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA, Datuk Ibrahim Abdullah dan Zaharuddin Alias.-SAHIH
#kw ANGKASA, ACCU Forum 26, koperasi kredit, Abdul Fattah Abdullah, Kamarudin Ismail, ICA, ACO, WOCCU
