Pelajar UMP santuni penduduk Kampung Gesir Tengah
Foto : Delegasi program Pengabdian Kemasyarakatan Internasional, UMP, Indonesia dan pelajar UPSI bergambar kenangan bersama penduduk Kampung Gesir Tengah, Hulu Selangor.
Pelajar UMP santuni penduduk Kampung Gesir Tengah
HULU SELANGOR – Seramai 60 pelajar ijazah sarjana muda Universitas Muhammadiyah Pontianak (UMP), Indonesia, menyantuni penduduk Kampung Gesir Tengah menerusi program gotong-royong membersihkan dan menceriakan kawasan persekitaran masjid, baru-baru ini.
Ketua Kampung Gesir Tengah, Ahmad Jawawi Enjah, berkata kehadiran pelajar dari negara jiran itu amat dihargai penduduk kerana turut membantu membersihkan kawasan masjid walaupun program berkenaan hanya berlangsung selama setengah hari.
“Program yang diadakan dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, berjaya merapatkan hubungan antara pelajar universiti luar negara dengan penduduk kampung.
“Walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi adat, budaya, bahasa dan pergaulan, ia bukan penghalang untuk kami beramah-mesra serta berganding bahu menjayakan program ini,” katanya.
Program bermula seawal 8 pagi dengan sarapan disediakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sebelum pelajar dan penduduk melakukan kerja pembersihan termasuk memangkas ranting pokok.
Rektor UMP, Dr Heriansyah, berkata Program Pengabdian Kemasyarakatan Internasional itu memberi pengalaman baharu kepada pelajar dalam melaksanakan khidmat masyarakat merentas sempadan.
Katanya, selain membersihkan ruang dalam dan halaman masjid, pelajar turut menanam pokok bunga sumbangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), manakala pelajar sarjana perubatan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma.
Pengerusi Masjid Kampung, Ruslan Ngah Mat Daud, berkata aktiviti kemasyarakatan membabitkan pelajar universiti itu adalah kali ketiga dianjurkan tahun ini.-SAHIH.
