Wanita mengaku salah transaksi kawalan bayi RM17,300
Wanita mengaku salah transaksi kawalan bayi RM17,300
Sungai Petani: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan pilihan mengambil bahagian dalam transaksi bagi memberikan kawalan secara tetap terhadap seorang bayi dengan balasan RM17,300, bulan lalu.
S. Kelsey, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, Kelsey didakwa mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan kawalan secara tetap terhadap bayi terbabit yang kini berusia 12 hari dengan balasan wang RM17,300.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hospital swasta di Sungai Petani antara 18 Ogos hingga 21 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam RSN Rayer yang mewakili Kelsey memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi mendapatkan fakta kes dan jatuh hukum.
Beliau turut memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap serta perlu menyara keluarga.
Rayer juga memohon mahkamah memberi ruang kepada Kelsey yang didakwa masih lesu selepas ditahan bagi membantu siasatan kes itu, tiga hari selepas melahirkan anak bulan lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan Kelsey diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan jatuh hukum pada 5 Oktober depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhamad Fitri Wan Azizan.
Sementara itu, Kelsey turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan memiliki kad pengenalan milik wanita lain berusia 33 tahun di hospital sama, bulan lalu.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula serta jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Mahkamah Sesyen Sungai Petani, transaksi bayi, RM17,300, S Kelsey, Akta Kanak-Kanak 2001, kad pengenalan orang lain, mahkamah
