SUMAREH GUNA PEGUAM TUNTUT RM1 JUTA
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang utama Pahang, Mohamadou Sumareh dipercayai sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) melalui peguamnya, baru-baru ini.
Difahamkan, surat itu antara lain mengemukakan tuntutan berjumlah RM1 juta daripada PBNP kerana didakwa gagal membayar tunggakan gaji, selain tidak mematuhi syarat kontrak yang dipersetujui antara kedua pihak sebelum ini.
Bagaimanapun, surat dikemukakan peguam mewakili Sumareh berpangkalan di Switzerland itu tidak menggentarkan pihak pengurusan PBNP dan mahu isu berkenaan diselesaikan sebaik mungkin, selain sedia melantik peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pemain berstatus naturalisasi itu.
Menurut sumber, keputusan PBNP itu dibuat selepas mesyuarat pihak pengurusan tertinggi persatuan berkenaan dua hari lalu.
Ketika ini, PBNP sedang mengumpul bukti dan sedia merujuk perkara itu kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.
“Pelbagai tohmahan dilempar terhadap PBNP dan skuad Tok Gajah, termasuk berkaitan tunggakan gaji pemain sehingga mendorong dia (Sumareh) meninggalkan pasukan.
“Ada juga pihak tertentu mendakwa kami (Pahang) sudah menerima wang (bayaran) tebus kontrak Sumareh untuk musim 2021-2022 bernilai jutaan ringgit… dakwaan ini tidak tepat dan tidak berasas.
“Jika skuad Tok Gajah menghadapi masalah pembayaran gaji, sudah tentu bukan Sumareh saja yang akan bising, mungkin ada pemain lain yang turut mengambil tindakan sama dan menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya.
Beliau berkata, sikap Sumareh menghilangkan diri dan tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan adalah sangat mengecewakan serta tidak profesional.
“Kita akan ambil tindakan ini kerana bukannya PBNP tidak membayar gaji, cuma membayarnya separuh daripada gaji berikutan masalah yang timbul sejak wabak COVID-19 mula melanda negara awal tahun ini,” katanya.