Lori tangki simen hilang kawalan cetus nahas 11 kenderaan, empat maut
Lori tangki simen hilang kawalan cetus nahas 11 kenderaan, empat maut
TEMERLOH: Sebuah lori tangki muatan simen yang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain mencetuskan kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Lanchang arah timur, malam tadi.
Kemalangan kira-kira 10.55 malam itu mengorbankan empat mangsa termasuk pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka berusia empat tahun.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menghala ke timur.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori tangki simen terbabit hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan yang sedang bergerak perlahan di atas jalan.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Honda CR-V iaitu lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah manakala penumpang yang juga bapanya berusia 55 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Proton S70, lelaki berusia 32 tahun bersama dua penumpang iaitu isterinya yang juga berusia 32 tahun serta anak lelaki mereka berusia empat tahun turut meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azry Akmar berkata, pemandu lori tangki berkenaan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Katanya, pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah pikap, sebuah Toyota Alphard dan lima kereta lain tidak mengalami kecederaan serius.
Semua mangsa dibawa ke HoSHAS bagi mendapatkan rawatan manakala proses bedah siasat terhadap mangsa yang meninggal dunia dijalankan pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-SAHIH
