Anwar arah agensi kerajaan segera bantu rakyat Malaysia di Nepal
Anwar arah agensi kerajaan segera bantu rakyat Malaysia di Nepal
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi kerajaan berkaitan supaya segera mengenal pasti serta menghubungi rakyat Malaysia yang berada di Nepal susulan perkembangan situasi di negara berkenaan.
Beliau berkata, arahan itu membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), agensi berkaitan keselamatan siber serta Kementerian Luar bagi memastikan usaha bantuan dan pemantauan dapat diselaraskan secepat mungkin.
Menurutnya, kedutaan Malaysia di India dan Kathmandu juga perlu digerakkan untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.
“Saya dah minta semua jabatan termasuk MKN dan Kementerian Luar untuk segera mengenal pasti dan hubungi kementerian dan kedutaan kita, kedua-duanya dekat India dan di Kathmandu untuk menyegerakan usaha-usaha membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di ibu negara, Khamis.
Anwar berkata, tindakan segera itu penting bagi memastikan keberadaan dan keselamatan rakyat Malaysia di Nepal dapat dikenal pasti selain membolehkan bantuan yang diperlukan disalurkan tanpa kelewatan.
Kerajaan turut mahu segala usaha pemantauan dan koordinasi antara agensi berkaitan dipertingkat susulan perkembangan semasa di Nepal.
Langkah berkenaan membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat terkini mengenai rakyat Malaysia yang berada di negara itu dan seterusnya menentukan bentuk bantuan yang diperlukan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, Nepal, rakyat Malaysia, MKN, Kementerian Luar, Kathmandu, India, NICE 2026
