Anwar mahu kampus jadi medan pemikiran bebas, kritis
Anwar mahu kampus jadi medan pemikiran bebas, kritis
KUALA LUMPUR: Universiti perlu kembali menjadi medan subur bagi percambahan idea, perbahasan intelektual dan pemikiran kritis dengan mahasiswa diberikan kebebasan bersuara tanpa kekangan tidak munasabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak pengurusan universiti dan kementerian berkaitan perlu menerima hakikat bahawa ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya bagi mewujudkan budaya keilmuan lebih dinamik di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyekat mahasiswa, sebaliknya mereka perlu diberi ruang mempertahankan hujah masing-masing menerusi perbahasan secara matang.
“Menerima kenyataan bahawa ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang menghalang kegiatan mereka.
“Sama ada kita setuju atau tidak, itu soal lain… kita boleh berbahas dan menuntut anak-anak mahasiswa mempertahankan hujah mereka.
“Tapi mesti menjadikan belia universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13, Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, malam Rabu.
Anwar yang turut bertindak sebagai moderator forum itu turut mengarahkan sebarang tindakan disiplin terhadap mahasiswa semata-mata kerana menyuarakan kritikan atau pandangan akademik ditarik balik serta-merta.
“Kalau ada mahasiswa diberikan beberapa tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk kritikan kepada Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka hendaklah dilepaskan sepenuhnya.
“Kalau kes polis, ya… itu isu lain,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan berkenaan bukan lesen untuk mahasiswa bertindak di luar batas undang-undang termasuk merosakkan harta benda awam.
Mengulas penambahbaikan AUKU 1971, Anwar berkata sebarang pindaan undang-undang tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa kerajaan atau menteri.
Sebaliknya, kerajaan bersedia mengurangkan pemusatan kuasa kementerian bagi memberikan lebih banyak autonomi pentadbiran dan akademik kepada universiti.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, mahasiswa, AUKU, Universiti Malaya, kebebasan bersuara, IPT, autonomi universiti, pendidikan tinggi
