Kerajaan teliti pindaan AUKU, mahasiswa diminta beri ruang
Kerajaan teliti pindaan AUKU, mahasiswa diminta beri ruang
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memastikan sebarang pindaan atau pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira kebebasan mahasiswa serta kepentingan institusi pengajian tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga mahasiswa dan semua pihak berkepentingan perlu memberi kepercayaan serta ruang kepada kerajaan melaksanakan langkah penambahbaikan yang sedang direncanakan.
Menurutnya, beliau secara peribadi konsisten menentang akta berkenaan sejak dahulu dan mahu perubahan dibuat secara komprehensif, bukan sekadar menggantikan AUKU dengan peruntukan baharu yang mempunyai kelemahan sama.
“Jadi, sekarang saya kata kena pinda, menyeluruh. Berilah ruang sedikit pada pakcik ni…,” katanya ketika menjawab soalan peserta pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13, Pendidikan Masa Depan Negara dan AUKU di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, malam Rabu.
Peserta berkenaan meminta jaminan kerajaan supaya akta baharu yang bakal menggantikan AUKU tidak menjadi ‘AUKU dalam bentuk baharu’.
Anwar berkata, usaha meminda atau memansuhkan akta itu memerlukan proses dan penelitian menyeluruh selepas perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi serta Jemaah Menteri.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan menyediakan ruang politik dan saluran kebebasan bersuara lebih luas kepada mahasiswa, namun perlu berteraskan tatakelola serta undang-undang yang teratur.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memberinya sedikit masa untuk mengadakan pertemuan khas bagi membincangkan isu keabsahan akta dan kebajikan mahasiswa.
“Beri masa sikit. Saya fokus pada Hari Kemerdekaan, kemudian Hari Malaysia, kemudian bajet… it’s going to be very challenging budget dan jerebu sekarang tetapi insya-Allah, saya akan jumpa,” katanya.
Terdahulu, MPPK yang merangkumi 35 wakil pemimpin mahasiswa daripada IPTA, politeknik dan kolej komuniti memohon dilibatkan secara rasmi dalam jawatankuasa penggubalan atau pindaan akta berkenaan.
MPPK turut mencadangkan mesyuarat perdana khas bersama Perdana Menteri supaya isu teras mahasiswa dapat disuarakan secara terus.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, AUKU, mahasiswa, Universiti Malaya, MPPK, kebebasan mahasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi, pendidikan tinggi
