Lebih 80,000 dijangka banjiri Dataran Putrajaya
Lebih 80,000 dijangka banjiri Dataran Putrajaya
PUTRAJAYA: Lebih 80,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos ini, dengan tahap persiapan kini mencapai antara 85 hingga 90 peratus.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, persiapan membabitkan pelbagai peringkat termasuk latihan statik semua kontinjen yang sudah mula dilaksanakan menjelang sambutan bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.
Menurutnya, kerajaan menetapkan peruntukan sederhana bagi penganjuran tahun ini, namun kemeriahan sambutan tetap akan dirasai.
“Perlu saya maklumkan bahawa kerajaan menetapkan sambutan kali ini dengan peruntukan yang sederhana tetapi kemeriahan tetap akan kita rasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tapak daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2026, semalam.
Abdul Halim berkata, pertunjukan udara masih akan diadakan tetapi dalam skala lebih kecil, selain jumlah aset turut dikurangkan mengambil kira situasi semasa termasuk krisis tenaga dan bekalan.
Katanya, pemantauan cuaca turut diberi perhatian menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat terkini sebelum disampaikan kepada orang ramai.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi menubuhkan 18 jawatankuasa kerja bagi memastikan semua aspek persiapan sambutan dilaksanakan secara teratur termasuk Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat.
“Sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Ogos,” katanya.
Sementara itu, acara perarakan dan perbarisan bakal membabitkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen.
Ia turut menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam serta 11 kereta berhias.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Hari Kebangsaan 2026, Dataran Putrajaya, Putrajaya, Abdul Halim Hamzah, Kementerian Komunikasi, Merdeka, perarakan, perbarisan, Malaysia MADANI, 31 Ogos
