Projek JKR mesti tepati tempoh, kos dan kualiti – Nanta
Projek JKR mesti tepati tempoh, kos dan kualiti – Nanta
IPOH: Kejayaan projek kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak boleh hanya diukur berdasarkan kemampuan menyiapkannya lebih awal daripada jadual, sebaliknya perlu memenuhi tempoh, kos serta spesifikasi kualiti yang ditetapkan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kontraktor perlu memastikan ketiga-tiga aspek berkenaan diberi keutamaan bagi mengelakkan projek berdepan kelewatan, masalah kualiti atau akhirnya dikategorikan sebagai projek sakit.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menyifarkan projek sakit dan terbengkalai, selain mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan untuk memantau pelaksanaan projek.
“Sesebuah projek bukan dikatakan ‘ahead of time’ kalau ada masalah dengan kualiti.
“‘Ahead of time’ bermakna ia mesti dicapai dalam kos yang sudah ditetapkan dan juga dalam spesifikasi kualiti yang ditetapkan. Itu baru ‘ahead of time’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.
Nanta berkata, projek pembinaan IPK Perak dan perumahan bernilai kira-kira RM366 juta di Bandar Meru, Ipoh itu akan dilaksanakan dalam tempoh 42 bulan dan dijangka siap pada Februari 2030.
Projek strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan akan dibangunkan oleh Serada Realty Sdn Bhd di tapak seluas 25 hektar bersebelahan Bulatan Sultan Azlan Shah.
Dalam pada itu, Nanta mengingatkan kontraktor yang menerima SST supaya melaksanakan amanah diberikan dengan penuh integriti, tanggungjawab dan komitmen serta memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi, mencapai tahap kualiti terbaik dan dalam tempoh ditetapkan.
Beliau turut menekankan peranan Pegawai Penguasa supaya memantau kemajuan kerja secara proaktif, mengenal pasti isu di tapak serta mengambil tindakan penyelesaian segera bagi memastikan jadual dan prestasi projek tidak terjejas.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw JKR, Kementerian Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, projek sakit, projek terbengkalai, IPK Perak, Bandar Meru, Ipoh, Serada Realty, pembinaan
