Hari Kebangsaan, Hari Sabah semai semangat generasi muda
Hari Kebangsaan, Hari Sabah semai semangat generasi muda
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah pada 31 Ogos ini diharap menjadi manifestasi keyakinan rakyat terhadap masa depan negeri itu, selain memperkukuh semangat perpaduan serta kecintaan kepada negeri dan negara.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya peluang kepada rakyat menghayati sejarah dan menghargai perjuangan generasi terdahulu.
Katanya, sambutan itu juga memberi ruang kepada masyarakat, khususnya golongan muda untuk melihat ke hadapan dengan penuh keyakinan terhadap masa depan Sabah dalam Malaysia.
“Lebih kepada hiburan, tetapi dalam masa sama ada pengisian yang kita harapkan sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat nasionalisme dan keyakinan diri dalam kalangan orang muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, baru-baru ini.
Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 berkata, program tahun ini turut memberi ruang kepada rakyat untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah negeri serta perjalanan pembentukan Malaysia.
Menurutnya, selain mengenang perjuangan tokoh terdahulu, generasi masa kini perlu memikirkan peranan mereka dalam mengisi kemerdekaan.
“Selain melihat dan menoleh ke belakang terhadap apa yang diperjuangkan oleh bapa-bapa dan mama-mama kemerdekaan, kita juga perlu melihat ke hadapan mengenai apa yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan itu.
“Bagi sambutan Hari Sabah, hampir keseluruhan acaranya adalah untuk orang muda,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri akan berlangsung di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu pada sebelah pagi dengan 180 kontinjen menyertai perbarisan dan perarakan.
Pada sebelah malam, lokasi sama akan menjadi pentas Sambutan Hari Sabah dengan pengisian memberi penekanan kepada belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri, selain persembahan serta acara rasmi.
Hari Sabah diisytiharkan secara rasmi pada 5 Jun 2024 dengan 31 Ogos ditetapkan sebagai Hari Sabah, sekali gus menjadikan tahun ini kali ketiga sambutan berkenaan diraikan secara rasmi bersama Hari Kebangsaan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw Hari Kebangsaan, Hari Sabah, Sabah, Masidi Manjun, Kota Kinabalu, generasi muda, nasionalisme, perpaduan, kemerdekaan, Malaysia
