Caregiver Rentas Kaum, Agama Jadi Sandaran Warga Emas
Caregiver Rentas Kaum, Agama Jadi Sandaran Warga Emas
IPOH: Pengalaman menyaksikan seorang warga emas menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat menjadi detik yang tidak dapat dilupakan penjaga pesakit (caregiver), J. Susila Devi, 64, sepanjang penglibatannya dalam bidang penjagaan warga emas.
Susila berkata, sebelum kejadian itu berlaku, beliau membantu wanita berkenaan mengambil wuduk dan bersiap untuk menunaikan solat seperti kebiasaan.
Menurutnya, dia tidak menyangka bantuan yang diberikan pada hari itu menjadi khidmat terakhirnya kepada wanita terbabit.

“Seperti biasa saya bergurau dan memintanya segera mengambil air sembahyang kerana waktu Zuhur sudah masuk. Selepas itu dia menunaikan solat, namun tidak lagi bangun. Peristiwa itu menjadi kenangan yang saya tidak dapat lupakan sehingga hari ini,” katanya.
Susila yang berketurunan Eurasian merupakan antara peserta Program TVET Penjagaan Warga Emas Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan kini bergiat aktif sebagai penjaga pesakit profesional.
Beliau berkata, kerjaya sebagai caregiver bukan sahaja memerlukan kemahiran teknikal, malah sifat empati dan rasa hormat terhadap individu yang dijaga tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan 12 negeri di Malaysia kini dikategorikan sebagai negeri menua apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah populasi.
Perak pula mencatatkan peratusan tertinggi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas iaitu 10.8 peratus daripada kira-kira 2.6 juta penduduk negeri itu pada tahun ini.
Seorang lagi penjaga pesakit, Vicky Hanna @ Chin Wai Keng, 62, berkata keperluan terhadap tenaga kerja profesional dalam bidang penjagaan warga emas semakin meningkat sejajar pertambahan populasi warga emas negara.
“Kerajaan kini memberi perhatian kepada pensijilan caregiver dan saya melihat kursus profesional seperti ini mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PASAK, Aldrian Ng berkata, program di bawah Inisiatif Santunan Kasih Perak itu bukan sahaja memberi latihan teknikal, malah menerapkan nilai ihsan dalam pengurusan warga emas.
Beliau berkata, Program TVET Penjagaan Warga Emas yang diperkenalkan sejak 2023 berjaya menjana pendapatan terkumpul RM1.75 juta kepada pesertanya, selain membantu meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.
Menurutnya, sehingga Disember tahun lalu, 66 peratus alumni program itu melaporkan peningkatan pendapatan bulanan manakala 25 peratus berjaya menggandakan pendapatan masing-masing.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
