PKR Perlu Bawa Naratif Baharu Kembalikan Keyakinan Rakyat
PKR Perlu Bawa Naratif Baharu Kembalikan Keyakinan Rakyat
Melaka: Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu tampil dengan naratif baharu yang lebih segar dan berkesan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti itu menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, usaha mendapatkan semula sokongan rakyat tidak boleh hanya bergantung kepada populariti pemimpin, sebaliknya perlu diperkukuh melalui gerak kerja tersusun dan pengukuhan akar umbi.
Menurutnya, keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini termasuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan parti perlu melakukan penilaian semula terhadap pendekatan serta strategi yang digunakan.
“Popular sahaja tidak cukup. Selepas kita melalui Pilihan Raya Negeri di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, terdapat satu hakikat yang saya kira disetujui semua, kekuatan kita di peringkat akar umbi masih belum cukup kuat untuk diterjemahkan dalam bentuk kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Muhammad Kamil berkata, seluruh jentera parti perlu memahami bahawa cabaran ketika berada dalam kerajaan dan di luar kerajaan adalah berbeza, justeru pendekatan yang digunakan juga perlu lebih tersusun, teratur dan bersasar.
Katanya, pilihan raya adalah medan terbaik untuk mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap perjuangan parti dan setiap keputusan yang diterima perlu dijadikan panduan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.
Beliau berkata, anggota parti tidak seharusnya berputus asa dengan keputusan yang dicapai sebaliknya menjadikan ia sebagai pemangkin untuk bangkit semula dan memperkukuh hubungan dengan rakyat.
“Jangan berputus asa. Terimalah kenyataan pahit ini bahawa rakyat telah memberikan kita satu isyarat yang jelas dan ia menuntut kita untuk bangkit semula, terus bercakap bagi pihak rakyat serta melihat semula pendekatan strategi,” katanya.
Menurutnya, setiap anggota dan pimpinan parti perlu melakukan muhasabah secara jujur serta memperkasakan peranan akar umbi agar mesej perjuangan parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
Beliau berkata, hanya melalui kesatuan, disiplin organisasi dan keupayaan mendengar suara rakyat, PKR mampu mengembalikan semula keyakinan pengundi terhadap parti itu pada masa depan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
