PKR Diingat Fokus Agenda Parti, Henti Polemik Remeh
PKR Diingat Fokus Agenda Parti, Henti Polemik Remeh
Melaka: Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak lagi membuang masa dengan perkara remeh sebaliknya menumpukan usaha memperkukuh parti serta menterjemahkan amanat kepimpinan kepada rakyat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, setiap anggota perlu berani melakukan muhasabah diri dengan mengakui kelemahan, mendengar suara akar umbi dan memperbaiki kekurangan demi memastikan parti terus relevan serta mendapat sokongan rakyat.
Menurutnya, kesetiaan dan keyakinan jentera parti khususnya di peringkat akar umbi menjadi nadi utama kepada perjuangan PKR dalam meneruskan agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.
“Ambil peluang ini untuk benar-benar menghayati ucapan semua pimpinan. Gunakan pentas ini untuk muhasabah diri, mengakui kelemahan dan kekurangan dengan penuh kesedaran serta rendah hati.
“Perbahasan perwakilan juga perlu menjadi medan suara akar umbi untuk terus memperteguhkan parti,” katanya ketika berucap pada Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Fadhlina berkata, kekuatan parti tidak hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi semata-mata, sebaliknya memerlukan dukungan padu daripada seluruh anggota dan jentera di setiap peringkat.
Katanya, kesetiaan anggota kepada perjuangan parti amat penting terutama ketika berdepan cabaran politik semasa yang memerlukan kesatuan dan tenaga kolektif bagi memastikan agenda parti dapat diteruskan.
Beliau turut menyifatkan kongres berkenaan sebagai platform penting yang berfungsi sebagai medan suara akar umbi, ruang muhasabah serta saluran untuk mengemukakan pandangan dan kritikan secara membina.
Menurutnya, segala pandangan yang disuarakan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kepimpinan dan memperbaiki kelemahan organisasi demi memastikan PKR terus mendapat kepercayaan rakyat.
Pada masa sama, beliau menggesa para perwakilan supaya memanfaatkan sepenuhnya tempoh kongres dengan meneliti setiap ucapan, teguran dan pandangan yang disampaikan oleh barisan kepimpinan parti.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap anggota memahami hala tuju perjuangan parti serta bersedia menggalas tanggungjawab dalam menghadapi cabaran politik dan pilihan raya pada masa hadapan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
