UMNO Pahang terbuka kerjasama mana-mana parti demi rakyat
UMNO Pahang terbuka kerjasama mana-mana parti demi rakyat
BENTONG : UMNO Pahang tidak pernah menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pas, malah terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Badan perhubungan UMNO Negeri Pahang yang juga Menteri Besar Pahang , Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa UMNO Pahang menolak cadangan kerjasama dengan Pas seperti didakwa pihak tertentu.
“Sekarang ini kita buat kerja untuk rakyat. Walaupun (pilihan raya) tidak jauh sangat, tetapi tidak dekat sangat, jadi tumpuan kita adalah buat kerja,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berhubung kerjasama antara Pas dan UMNO di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pintu kerjasama tidak hanya terbuka kepada Pas, sebaliknya merangkumi mana-mana parti sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Geran usahawan Makmur dan Penyerahan Hasil transformasi produk usahawan.
“Kita terbuka dengan siapa-siapa pun. Bukan sahaja kepada Pas, tetapi kepada mana-mana parti lain.
“Terbuka bukan sahaja kepada Pas, kepada mana-mana parti sekalipun. Ini demi rakyat Pahang,” katanya.
Terdahulu, Rosli dilaporkan berkata, Pas Pahang mengutamakan usaha penyatuan parti-parti Melayu termasuk UMNO, namun bersedia berdepan mana-mana parti pada PRU16 sekiranya usaha berkenaan tidak mendapat persetujuan.
Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur dilaporkan berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan diadakan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama berkenaan.
Sementara itu, Wan Rosdy menegaskan dakwaan bahawa UMNO sudah menolak cadangan berkenaan tidak berasas.
“Cakap boleh cakap, tetapi pernah tak dengar saya cakap yang mengatakan kita menolak?” katanya.-SAHIH
