PMX dijangka keluar hospital hari ini
PMX dijangka keluar hospital hari ini
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibenarkan keluar dari hospital hari ini selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi bagi merawat hernia perut.
Perkara itu dimaklumkan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Wan Azizah berkata, beliau merancang untuk melawat Anwar dan menjangkakan Perdana Menteri dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
“Insya-Allah saya nak pergi ni… saya nak pergi melawat sekejap, saya nak pergi sebab Insya-Allah hari ini dia ‘discharge’,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Semarak Merdeka Parlimen Bandar Tun Razak bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 di Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Bandar Tun Razak, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menitipkan salam dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraannya sepanjang menjalani rawatan.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut.
Beliau kemudiannya berada dalam pemantauan rapi pasukan pakar perubatan selepas prosedur berkenaan.
Prosedur laparoskopi adalah kaedah pembedahan invasif minimum yang dilakukan menerusi bukaan kecil pada bahagian tubuh dan lazimnya membolehkan proses pemulihan lebih cepat berbanding pembedahan terbuka.
Anwar sebelum ini turut menerima pelbagai ucapan dan doa daripada orang ramai serta pemimpin negara supaya diberikan kesihatan yang baik dan kembali menjalankan tugas seperti biasa.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
